PLUS EXPRESSWAYS BERHAD

UNTUK SIARAN SEGERA
15 September 2008

PLUS BUKA BAZAAR RAMADHAN DI R&R TERPILIH

Kuala Lumpur, Isnin:- Orang ramai yang menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan boleh mendapatkan pelbagai juadah berbuka puasa apabila gerai-gerai menjual pelbagai juadah berbuka puasa di beberapa R&R sepanjang lebuh raya bermula 13 September sehingga 6 Oktober ini.

Menurut Pengurus Besar Komunikasi Korporat PLUS Expressways Berhad (PLUS), Khalilah Dato’ Mohd Talha, “Bazaar Ramadhan PLUS dibuka setiap hari bermula jam 12:00 tengahari sehingga 9:00 malam di R&R Sungai Perak (Arah Utara), Hentian Sebelah Bukit Gantang (Arah Utara), R&R Gunung Semanggol (kedua-dua arah), Hentian Sebelah Juru (Arah Utara), R&R Gurun (kedua-dua arah), R&R Tapah (Arah Utara), R&R Pagoh (Arah Selatan) dan R&R Gelang Patah (Arah Selatan).”

Selain juadah berbuka puasa, pengunjung turut boleh mendapatkan pelbagai kelengkapan berhari raya seperti baju kurung, baju melayu, songkok, kasut, butang baju melayu, kerongsang, seluar jeans, baju kemeja, barang perhiasan rumah, bunga dan lain-lain di bazaar-bazaar Ramadhan tersebut.