PLUS EXPRESSWAYS BERHAD

UNTUK SIARAN SEGERA
18 Mac 2008

HORMATI HAD MASING-MASING DAN ELAK KEMALANGAN

 

Seberang Jaya, Selasa :- ”Kebanyakan kemalangan di lebuh raya yang melibatkan kenderaan berat mungkin boleh dielakkan sekiranya pemandu menghormati kemampuan diri serta kemampuan kenderaan yang mereka pandu,” kata Pengurus Besar Komunikasi Korporat PLUS Expressways Berhad (PLUS), Khalilah Dato Mohd Talha ketika merasmikan Seminar Keselamatan ’Respect Your Limits’ di Sunway Carnival Convention Centre, Seberang Jaya hari ini.

”Pemandu sering memandang remeh tentang keupayaan diri mereka sendiri dengan terus memandu walaupun mereka berasa letih, mengantuk hingga sukar untuk memberi perhatian kepada pemanduan masing-masing. Akhirnya, mereka terbabit di dalam kemalangan yang menyebabkan ramai penumpang atau pengguna lain menjadi mangsa,” kata Khalilah.

Menyedari perlunya mendidik pemandu dan pemilik kenderaan berat tentang kepentingan memahami had diri dan kemampuan yang dipandu, PLUS dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) mengadakan beberapa siri Seminar Keselamatan ’Respect Your Limits’ di beberapa lokasi di Semenanjung Malaysia sepanjang tahun ini.

Menurut Khalilah, ”Sebanyak 1,134 buah kenderaan berat terbabit di dalam kemalangan di Lebuhraya PLUS tahun lalu berbanding 1,123 tahun sebelumnya. Walaupun jumlah tersebut jauh lebuh rendah berbanding kemalangan di laluan-laluan biasa, PLUS berpendapat jumlah tersebut boleh dikurangkan lagi menerusi kempen-kempen kesedaran seumpama ini.”

Seminar kali pertama telah berlangsung dengan jayanya di Alor Star, 28 Januari lalu. Seminar kedua yang diadakan di Seberang Jaya hari ini dihadiri oleh seramai 150 orang pemandu-pemandu, pihak pengurusan dan pemilik syarikat bas dan lori di sekitar Pulau Pinang.

Seminar setengah hari ini turut disertai oleh penceramah-penceramah dari PLUS, JKJR, Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Puspakom. Ia memberi pendedahan kepada peserta tentang tip-tip pemanduan selamat di jalan raya selain membincangkan isu-isu keselamatan membabitkan kenderaan-kenderaan berat.


”Seminar yang seterusnya akan diadakan di Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor secara berperingkat selepas ini,” kata Khalilah.