PLUS EXPRESSWAYS BERHAD

UNTUK SIARAN SEGERA
19 September 2008


PLAZA TOL IPOH SELATAN (ARAH SELATAN) DIBUKA 22 SEPTEMBER

Kuala Lumpur, Jumaat :- Bermula jam 5:00 petang, 22 September (Isnin) ini, orang ramai dari sekitar Ipoh dan utara yang menghala ke Kuala Lumpur perlu mengambil tiket transit masing-masing di Plaza Tol Ipoh Selatan (Arah Selatan) yang baru.

Plaza tol baru ini merupakan salah sebuah plaza tol yang dibina untuk projek Laluan Terus Tanpa Henti di antara Ipoh Selatan-Jelapang terletak kira-kira 200 meter ke utara Plaza Tol Ipoh Selatan yang sedia ada.

“Dengan pembukaan plaza tol baru ini, pengguna lebuh raya dari sekitar Ipoh atau utara yang menghala ke selatan akan dilencongkan di KM276.2 Lebuhraya Utara-Selatan untuk melalui jalan tempatan dan mengambil tiket transit masing-masing di Plaza Tol Ipoh Selatan (Arah Selatan) yang baru. Mereka perlu meneruskan perjalanan ke selatan sehingga memasuki semula laluan utama lebuh raya di KM281.3,” kata Ketua Pegawai Operasi PLUS Expressways Berhad (PLUS), Nik Airina Nik Jaffar.

Plaza Tol Ipoh Selatan (Arah Selatan) dilengkapi dengan 9 lorong termasuk 2 lorong SmartTAG dan 2 lorong Touch ‘n Go, 1 lorong Tambah Nilai, 2 lorong tunai dan 2 lorong tambahan.

Namun begitu, orang ramai dari selatan yang menghala ke Ipoh dan utara masih boleh menggunakan Plaza Tol Ipoh Selatan yang sedia ada.

Justeru itu, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dan mematuhi semua papantanda arahan yang disediakan di kawasan terbabit.

Keseluruhan projek di antara Plaza Tol Ipoh Selatan dan Jelapang dijangka siap sebelum penghujung tahun ini di mana orang ramai bakal menikmati perjalanan yang lebih lancar dan lebih selesa dengan laluan terus tanpa henti.