|
Kuala
Lumpur, Ahad:- PLUS Ekspressways Berhad (PLUS) bakal
melahirkan bakat baru melalui kejohanan sukan bermotor yang
diasuh dari peringkat akar umbi melalui kejohanan ’Formula PLUS
Inter School Go-Kart’ dengan harapan mencipta seorang pelumba
yang mahir dan berdisiplin.
Pengerusi Suruhanjaya Sukan Bermotor Malaysia, Dato’ Mohamed
Azman Yahya, telah menyempurnakan upacara perasmian program yang
julung kali dianjurkan ini di Litar Speedway PLUS. Turut hadir
ialah Pengarah Urusan PLUS Expressways Berhad, Noorizah Hj Abdul
Hamid.
‘Kejohanan ini merupakan salah satu daripada langkah kami di
PLUS untuk menyatakan sokongan terhadap sukan pemotoran negara
selama ini. Ia juga dianjurkan untuk turut sama-sama
menghangatkan lagi disiplin sukan permotoran dan perlumbaan
seumpamanya yang diadakan di Malaysia, kata Noorizah.
PLUS mensasarkan pencarian pelumba kadet yang berbakat untuk
program ini di kalangan para pelajar yang berumur di antara 9
tahun hingga 10 tahun. Seramai 120 pelajar dari sekolah-sekolah
rendah di negeri Selangor akan dipilih oleh Jabatan Pelajaran
Negeri Selangor untuk menyertai program ini. Kejohanan ini akan
berlangsung bermula bulan Ogos hingga November akan datang
sebanyak empat siri iaitu:
Siri Pertama
: 18 & 19 Ogos 2008
Siri Kedua : 20 & 21 Ogos 2008
Siri Ketiga : 23 & 24 Ogos 2008
Grand Final : 1 & 2 November 2008
Litar Speedway PLUS sepanjang 990 meter ini akan menjadi medan
peserta menunjukkan bakat berlumba masing-masing. Sebanyak 12
go-kart baru (chassis kadet) khusus untuk program akar umbi
jenis ‘Interpid’ akan digunakan. Para peserta akan diajar secara
teori dan praktikal oleh instruktor-instruktor yang
berpengalaman bagi mendapatkan ilmu serta tips-tips perlumbaan.
Kejohanan ini turut menawarkan hadiah-hadiah lumayan bagi setiap
siri kepada pemenang-pemenang dan insentif untuk sekolah-sekolah.
Hadiah Peringkat Siri
Tempat Pertama : Piala + RM500 + Sumbangan RM1,000.00 kepada
Sekolah
Tempat Kedua : Piala + RM300 + Sumbangan RM600.00 kepada Sekolah
Tempat Ketiga : Piala + RM200 + Sumbangan RM400.00 kepada
Sekolah
Hadiah Grand Final
Juara : Piala + RM1000 + Sumbangan RM2,000.00 kepada Sekolah
Naib Juara : Piala + RM750 + Sumbangan RM1,500.00 kepada Sekolah
Tempat Ketiga : Piala + RM500 + Sumbangan RM1,000.00 kepada
Sekolah
Menerusi program ini, seramai tiga pelumba teratas di dalam
pusingan ‘Grand Final’ akan dikumpul dan dibentuk. Hanya juara
akan dipilih untuk menyertai TEAM PLUS MOTORSPORTS dari
segi keseluruhan (kepantasan, disiplin dan skil). Pelumba ini
kemudiannya akan ditaja secara keseluruhan untuk berlumba di
Kejuaraan Rotax Max Challenge Malaysia (5 pusingan) di dalam
kategori Micro Max.
Program ini mendapat kerjasama daripada Jabatan Pelajaran Negeri
Selangor, Kementerian Pelajaran Malaysia, COMMA Motorsports dan
KRS Motorsports.
|