PLUS EXPRESSWAYS BERHAD

UNTUK SIARAN SEGERA
20 Mei 2008

PEMANDU CUAI PUNCA UTAMA KEMALANGAN KENDERAAN BERAT DI LEBUH RAYA

 

Kuala Lumpur, Selasa:- Faktor kecuaian manusia dikenalpasti sebagai punca utama berlakunya kemalangan kenderaan berat di lebuh raya PLUS pada tahun 2007. Berdasarkan kajian oleh Jabatan Keselamatan Trafik PLUS, 38 peratus kemalangan kenderaan berat berpunca daripada pemandu yang mengantuk, manakala 33.4 peratus pula melibatkan pemandu yang memandu terlalu laju. 14 peratus kemalangan pula disumbangkan oleh pemandu yang hilang kawalan ke atas kenderaan mereka.

7.7 peratus dan 5.8 peratus pula berpunca daripada masalah teknikal seperti kegagalan brek dan tayar pecah atau pancit.

Justeru itu, PLUS Expressways Berhad (PLUS) dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) kini sedang menganjurkan kempen dan seminar keselamatan ‘Respect Your Limits’ untuk mendidik pemandu dan operator syarikat kenderaan berat tentang aspek-aspek pemanduan selamat di lebuh raya di samping menanamkan kepentingan menghormati kemampuan diri dan kenderaan yang mereka pandu dalam usaha mengurangkan lagi nahas jalan raya yang melibatkan kenderaan-kenderaan berat.

“Seminar Respect Your Limits telah diadakan secara berperingkat bermula 28 Januari lalu di Alor Star, diikuti oleh Seberang Jaya (18 Mac), Ipoh (1 April) dan Seremban (8 Mei),” kata Pengarah Urusan PLUS, Noorizah Hj Abd Hamid ketika majlis perasmian kempen dan seminar ‘Respect Your Limits’ di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini. Turut hadir ialah Ketua Pengarah JKJR, Datuk Suret Singh dan Ketua Trafik Pasukan PDRM Bukit Aman, SAC II Dato’ Hamza Taib.

“Seminar ini adalah platform yang terbaik bagi kami untuk mendidik kumpulan sasar tentang teknik-teknik pemanduan yang selamat serta menanamkan kesedaran di kalangan mereka tentang perlunya menghormati kemampuan fizikal mereka dan kenderaan yang mereka pandu,” kata beliau.

Sejak dianjurkan Januari lalu, hampir 800 peserta telah mengambil bahagian di dalam seminar-seminar keselamatan ‘Respect Your Limits’ yang pertama kali dianjurkan tahun ini. Jumlah penyertaan yang tinggi pada setiap seminar memberi isyarat positif kepada PLUS untuk terus menganjurkan program-program seumpama ini pada masa yang akan datang.

“Seminar yang sama akan turut diadakan pada 27 Mei di Melaka dan 17 Jun di Johor Bahru,” tambah Noorizah.

Selain itu, PLUS turut mengambil langkah-langkah lain untuk mengurangkan kemalangan yang melibatkan kenderaan berat di lebuh raya seperti menggalakkan pemandu berhenti rehat di kawasan-kawasan rehat, menaik taraf kawasan-kawasan yang sering berlaku kemalangan serta menambah papantanda amaran.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Keselamatan Trafik PLUS, sebanyak 1,134 buah kenderaan berat terbabit di dalam kemalangan di lebuh raya PLUS pada tahun 2007 berbanding 1,123 tahun sebelumnya. Walaupun jumlah tersebut jauh lebih rendah berbanding kemalangan di laluan-laluan biasa, PLUS berpendapat jumlah tersebut boleh dikurangkan lagi menerusi program-program keselamatan seumpama ini.

”Menerusi seminar ini, PLUS ingin menekankan kepentingan menghormati had pemanduan masing-masing. Ini adalah kerana kebanyakan pemandu sering memandang remeh dan kurang peka terhadap keupayaan diri dan terus memandu walaupun mereka berasa letih atau mengantuk hingga sukar memberi sepenuh perhatian kepada pemanduan mereka. Akhirnya, mereka terbabit di dalam kemalangan yang menyebabkan ramai penumpang atau pengguna lain yang turut menjadi mangsa,” tambah Noorizah.

Seminar ’Respect Your Limit’ selama setengah hari ini terdiri daripada beberapa sesi ceramah keselamatan yang disampaikan oleh pakar-pakar keselamatan jalan raya seperti JKJR, Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), PLUS dan PUSPAKOM. Ia mendedahkan peserta tentang tip-tip pemanduan selamat selain membincangkan isu-isu keselamatan membabitkan kenderaan-kenderaan berat.