PLUS EXPRESSWAYS BERHAD

UNTUK SIARAN SEGERA
21 Februari 2008

PLUS NASIHAT PELANGGAN LEBUH RAYA BERHATI-HATI MELALUI KAWASAN PEMBAKARAN JERAMI

 

Kuala Lumpur, Khamis:- PLUS Expressways Berhad (PLUS) ingin mengumumkan bahawa aktiviti pembakaran jerami secara terbuka sedang giat dijalankan oleh petani-petani di kawasan sawah padi di negeri Kedah dan Pulau Pinang ketika ini. Aktiviti pembakaran jerami secara terbuka ini akan mengakibatkan asap tebal memasuki kawasan lebuh raya dan persekitarannya serta boleh mengganggu penglihatan pemandu.

Di antara kawasan-kawasan yang dikenal pasti menjalankan aktiviti pembakaran jerami secara terbuka adalah di antara Alor Star ke Gurun, Kedah di KM51.4 hingga KM77.0.

Untuk makluman, aktiviti pembakaran jerami secara terbuka oleh petani dijangka akan berterusan sepanjang bulan Februari sehingga pertengahan Mac ini.

Sehubungan dengan itu, sekiranya pemandu telah memasuki kawasan yang berasap tebal, PLUS menasihatkan supaya pemandu memperlahankan kenderaan masing-masing, membunyikan hon dan menyalakan lampu utama kenderaan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini. Sekiranya keadaan terkawal, PLUS menasihatkan pemandu supaya terus memandu dengan perlahan dan berhati-hati sehingga melepasi kawasan berasap tersebut dan tidak memberhentikan kenderaan secara mendadak.

Pemandu juga dinasihatkan agar tidak meneruskan perjalanan sekiranya terlihat asap tebal meliputi kawasan lebuh raya. Pemandu dinasihatkan memberhentikan kenderaan di laluan kecemasan kira-kira 100 hingga 200 meter daripada kawasan asap tebal tersebut. Pemandu juga dinasihatkan supaya tidak memberhentikan kenderaan secara mendadak kerana ia boleh mendatangkan bahaya kepada pemandu lain.

Bagi menghadapi masalah ini, PLUS telah dan akan mengambil tindakan seperti berikut :-

i) Meletakkan papan tanda-papan tanda amaran sementara sepanjang laluan bagi memaklumkan pengguna lebuh raya agar lebih berhati-hati di lokasi-lokasi berikut:-
1. KM 77.40 dan KM 65.00 (Arah Utara) di antara Gurun ke Pendang
2. KM 51.40 dan KM 58.24 (Arah Selatan) di antara Alor Star ke Pendang

ii) PLUS juga turut bekerjasama dengan pihak media seperti televisyen dan radio bagi memaklumkan sebarang perkembangan terkini kepada para pengguna lebuh raya.

iii) Rondaan pasukan PLUSRonda turut akan ditingkatkan di laluan terbabit.

iv) Semasa aktiviti pembakaran dilakukan, Pasukan PLUSRonda akan ditempatkan di kawasan terbabit bagi memantau operasi pembakaran dan mengawal pergerakan trafik jika perlu.


PLUS juga mengalu-alukan sebarang maklum balas berkaitan aktiviti pembakaran jerami secara terbuka daripada pelanggan lebuh raya sekiranya berhadapan dengan situasi tersebut. Sebarang laporan sila hubungi PLUSLine di talian 1800 88 0000 atau Pusat Komunikasi Wilayah Utara di talian 04-5756414/6415 atau melalui telefon kecemasan di tepi lebuh raya atau pihak berkuasa seperti POLIS dan BOMBA.

PLUS mengucapkan terima kasih atas perhatian dan kerjasama semua pemandu.