PLUS EXPRESSWAYS BERHAD

UNTUK SIARAN SEGERA
23 Oktober 2008


PLUS LANCAR LOGO KORPORAT BARU

Kuala Lumpur, Khamis:- Setelah 20 tahun menyediakan perkhidmatan lebuh raya di negara ini, PLUS Expressways (PLUS) hari ini muncul dengan imej baru untuk terus melangkah ke dimensi baru perkhidmatan lebuh raya.

Majlis perasmian logo baru PLUS tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Ir Mohd Zin Mohamed bersempena dengan Majlis Rumah Terbuka syarikat ini di Hotel Sheraton Subang, hari ini.

Selepas 20 tahun, PLUS telah berevolusi daripada sebuah syarikat yang hanya mengendalikan Lebuhraya Utara-Selatan kepada sebuah entiti yang turut mengendalikan lebuh raya lain seperti ELITE, Linkedua, Lebuhraya Baru Lembah Klang, Lebuhraya Persekutuan Laluan 2, Lebuhraya Seremban-Port Dickson dan Lebuhraya Kulim-Butterworth. Selain daripada itu, PLUS juga sedang aktif membina jaringan lebuh raya – lebuh raya baru di India dan Indonesia.

Menurut Pengerusi PLUS Expressways Berhad, YBhg Tan Sri Dato’ Mohd Sheriff Mohd Kassim, ”Imej dan identiti baru ini yang masih mengekalkan warna hijau sebagai warna korporat akan mengekalkan nama PLUS yang sudah sebati dengan perkhidmatan lebuh raya di negara ini. Ia mencerminkan komitmen syarikat untuk terus meneroka peluang perniagaan di dalam dan di luar negara. Warna biru juga digunakan untuk menggambarkan pertalian PLUS dengan Kumpulan UEM.”

PLUS sudah sinonim dengan lebuh raya yang terpanjang di Semenanjung Malaysia. Ia menjadi satu penggerak pembangunan ekonomi dan sosial negara dengan memudahkan perjalanan pantas dan selesa dari utara hingga ke selatan Semenanjung Malaysia.
”Dengan imej yang baru ini, PLUS pastinya akan muncul sebagai sebuah entiti yang lebih dinamik, progresif dan kompetitif terutama dalam menyediakan perkhidmatan lebuh raya yang terbaik bukan sahaja di negara ini, tetapi di rantau Asia dan di dunia pada masa yang akan datang,” kata beliau
.