|
Kuala Lumpur, Selasa:-
PLUS proaktif dan komited untuk membantu orang ramai menikmati
perjalanan yang selamat, selesa dan efektif terutama pada
waktu-waktu puncak di lebuh raya.
Pada
sidang media yang diadakan di Kuala Lumpur hari ini, Ketua
Pegawai Operasi PLUS Expressways Berhad (PLUS), Nik Airina Nik
Jaffar berkata, ”Lebih daripada 4,000 kakitangan PLUS termasuk
hampir 400 anggota pasukan keselamatan dan RELA akan ditempatkan
di lebuh raya, plaza tol dan kawasan rehat sebagai langkah PLUS
untuk memastikan perjalanan orang ramai pada cuti Hari Raya
Aidilfitri yang akan datang selamat, lancar dan selesa.”
”Kami menjangkakan kira-kira 1.3 juta kenderaan akan menggunakan
perkhidmatan lebuh raya menjelang cuti perayaan yang akan
datang. Justeru itu, pelbagai langkah sedang dan akan diambil
bagi memastikan perjalanan orang ramai di lebuh raya adalah
selamat, lancar dan selesa,” kata beliau.
Cadangan Waktu Perjalanan
Nik
Airina menasihatkan orang ramai supaya mematuhi Jadual Cadangan
Waktu Perjalanan (TTA) PLUS. Cadangan Waktu Perjalanan ini
disediakan oleh PLUS untuk membantu orang ramai merancang
perjalanan mereka dan ia sekaligus akan melancarkan pergerakan
trafik di lebuh raya.
Konsep Cadangan Waktu Perjalanan ini, yang mula diperkenalkan
pada cuti perayaan Hari Merdeka tahun lalu dengan kerjasama
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Polis DiRaja Malaysia
(PDRM), adalah berdasarkan perjalanan berperingkat mengikut
destinasi bagi mengurangkan kesesakan pada waktu-waktu puncak.
Nik
Airina juga berkata kerjasama orang ramai dalam mematuhi jadual
yang dikeluarkan oleh PLUS pada cuti Hari Raya tahun lalu dan
Tahun Baru Cina tahun ini berjaya melancarkan perjalanan trafik
di lebuh raya. Oleh itu, beliau berharap orang ramai dapat terus
memberikan kerjasama dengan mematuhi jadual yang akan
dikeluarkan pada perayaan Hari Raya yang akan datang
Perjalanan Lebih Lancar
Bagi
memastikan kelancaran trafik di plaza-plaza tol, hampir 1,000
kaunter tol akan dibuka pada musim cuti ini dan PLUS juga akan
menempatkan kakitangan tambahan termasuk kakitangan dari ibu
pejabat ke plaza-plaza tol.
”Sejumlah 31 kenderaan tunda akan disediakan di lokasi-lokasi
strategik sepanjang lebuh raya untuk memastikan pengurusan
trafik yang lebih efisien. Selain itu, semua kerja-kerja
penyelenggaraan dan pembinaan jalan di lebuh raya akan
dihentikan sementara (kecuali kerja-kerja kecemasan) bermula
pada 26 September hingga 6 Oktober bagi memastikan perjalanan
orang ramai lebih lancar dan selesa pada musim perayaan ini,”
kata Nik Airina.
Selaras dengan larangan yang dikeluarkan oleh pihak Kerajaan,
kenderaan-kenderaan berat tertentu tidak dibenarkan memasuki
kawasan lebuh raya pada 27 hingga 28 September dan 4 hingga 5
Oktober bagi mengelakkan kesesakan dan meningkatkan tahap
keselamatan di lebuh raya.
Di
samping itu, pihak kami meramalkan jumlah trafik yang tinggi
apabila orang ramai pulang semula ke Lembah Klang pada hujung
minggu selepas cuti perayaan ini. Oleh yang demikian, laluan
kontra akan dibuka di antara Sungkai dan Slim River pada 4 dan 5
Oktober (sekiranya perlu) bagi membantu melancarkan lagi
perjalanan orang ramai.
Keselamatan Pengguna
”Bagi meningkatkan tahap keselamatan pada musim cuti ini, PLUS
akan turut menyediakan 123 pasukan PLUSRonda untuk mengadakan
lebih banyak rondaan di lebuh raya,” kata Nik Airina.
Pasukan-pasukan bantuan kecemasan seperti pasukan Bomba dan
Penyelamat, Polis, St John Ambulance, Persatuan Bulan Sabit
Merah dan JPA3 juga akan diletakkan di dalam keadaan bersedia di
12 lokasi strategik iaitu Gurun, Juru, Taiping, Kuala Kangsar,
Slim River, Tapah, Rawang, Nilai, Senawang, Tangkak, Yong Peng
dan Sedenak bermula 24 September hingga 8 Oktober.
Keselesaan Orang Ramai
Pelbagai langkah juga akan turut diambil bagi memastikan
perjalanan orang ramai pada musim cuti ini bertambah selesa.
Lebih daripada 300 kakitangan RELA dan PLUS akan ditempatkan di
53 kawasan rehat dan rawat dan hentian sebelah untuk membantu
pengurusan trafik di kawasan-kawasan tersebut.
”Selain itu, PLUS akan turut menyediakan kawasan meletak
kenderaan tambahan di Hentian Sebelah Bukit Gantang (kedua-dua
arah), R&R Gunung Semanggol (kedua-dua arah), R&R Ulu Bernam,
Hentian Sebelah Behrang (kedua-dua arah), Hentian Sebelah Ladang
Bikam (Arah Utara), R&R Pagoh (Arah Selatan), Hentian Sebelah
Simpang Renggam (Arah Utara) dan Hentian Sebelah Yong Peng (Arah
Selatan) untuk kemudahan orang ramai,” jelas Nik Airina.
Bagi
membantu orang ramai untuk urusan kad Touch ’n Go atau SmartTAG,
waktu operasi pusat khidmat pelanggan dan lorong tambah nilai
PLUS akan dilanjutkan sehingga jam 11:00 malam setiap hari.
Pemantauan Trafik
PLUS
juga akan memantau pergerakan dan keadaan trafik dari udara dan
di lebuh raya.
Maklumat Trafik Terkini
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini dengan
menghubungi talian bebas tol PLUSLine di 1800 88 0000 yang
beroperasi 24-jam setiap hari.
”Kami akan turut menyediakan maklumat trafik menerusi sistem
pesanan ringkas (SMS) pada hari-hari yang dijangka mempunyai
kadar trafik yang tinggi iaitu pada 27, 28, 29 dan 30 September
serta 4 dan 5 Oktober bagi membolehkan orang ramai mendapatkan
maklumat keadaan trafik terkini di lebuh raya,” jelas Nik
Airina.
Untuk mendapatkan SMS berkenaan keadaan trafik terkini di
Lebuhraya Utara-Selatan, orang ramai boleh:-
Taip ON<jarak>KLIP/IPKL/IPNO/NOIP/KLAK/AKKL/AKSO/SOAK
dan hantar ke 33626.
|
Perjalanan |
Kod |
Perjalanan |
Kod |
|
KL-Ipoh |
KLIP |
KL-Ayer Keroh |
KLAK |
|
Ipoh-KL |
IPKL |
Ayer Keroh-KL |
AKKL |
|
Ipoh-North |
IPNO |
Ayer Keroh-South |
AKSO |
|
North-Ipoh |
NOIP |
South-Ayer Keroh |
SOAK |
Langkah-langkah ini diambil bagi membantu orang ramai pulang ke
kampung halaman masing-masing dengan lebih selamat, lancar dan
selesa. |