|
Kuala
Lumpur, Selasa:- Orang ramai yang ingin pulang ke kampung
pada cuti musim perayaan ini dinasihatkan supaya mematuhi Jadual
Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang dikeluarkan oleh PLUS.
Menurut Ketua Pegawai Operasi PLUS Expressways Berhad (PLUS),
Nik Airina Nik Jaffar, “Bagi membantu melancarkan lagi
perjalanan trafik pada cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri ini,
PLUS telah menyediakan cadangan waktu perjalanan untuk orang
ramai dari Lembah Klang yang ingin ke utara dan selatan pada
hari Sabtu (27 September), Ahad (28 September) dan Selasa (30
September) serta ketika mereka kembali ke Lembah Klang pada hari
Sabtu (4 Oktober) dan Ahad (5 Oktober).”
(Sila rujuk jadual yang disertakan)
PLUS merupakan syarikat pengendali lebuh raya yang pertama
memperkenalkan cadangan waktu perjalanan di negara ini dalam
usaha membantu orang ramai merancang perjalanan mereka dan
sekaligus melancarkan pergerakan trafik di lebuh raya.
Konsep Cadangan Waktu Perjalanan ini, yang mula diperkenalkan
pada cuti perayaan Hari Merdeka tahun lalu dengan kerjasama
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM),
adalah berdasarkan perjalanan berperingkat mengikut destinasi
bagi mengurangkan kesesakan di lebuh raya pada waktu-waktu
puncak.
“Pada cuti Hari Raya Aidilfitri tahun lalu, perjalanan orang
ramai di lebuh raya lebih lancar apabila 60 hingga 70 peratus
pengguna lebuh raya mematuhi Cadangan Waktu Perjalanan yang
dikeluarkan. Justeru itu, kami berharap agar orang ramai terus
memberikan kerjasama dengan mematuhi jadual perjalanan ketika
mereka pulang ke kampung masing-masing dan kembali ke Lembah
Klang pada musim cuti perayaan ini,“ kata Nik Airina.
 |