|
Alor Star,
Isnin :- Seramai 150 orang pemandu-pemandu, pihak pengurusan
dan pemilik syarikat bas dan lori telah menghadiri Seminar
Keselamatan PLUS ’Respect Your Limits’ di sini hari ini.
Seminar selama setengah hari yang khusus bagi pemandu-pemandu,
pihak pengurusan dan pemilik syarikat lori dan bas di Wilayah
Utara ini dianjurkan bersama oleh PLUS Expressways Berhad (PLUS)
dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).
Seminar ini diadakan sebagai salah satu usaha mendidik dan
meningkatkan kesedaran kepada pemandu-pemandu, pihak pengurusan
dan pemilik syarikat bas dan lori terhadap tanggungjawab sebagai
pemandu yang berhemah serta pemanduan selamat di jalan raya
selain membincangkan isu-isu keselamatan membabitkan
kenderaan-kenderaan berat.
” Menerusi program ini, pemandu serta operator kenderaan berat
akan didedahkan kepada aspek kepentingan menghormati had diri
sendiri selaku pemandu, menghormati had kenderaan dan
menghormati pengguna jalan raya yang lain. PLUS berpendapat,
kebanyakan kemalangan yang berlaku bukannya disebabkan oleh
keadaan atau struktur jalan, tetapi ia juga berlaku akibat
kelalaian pemandu yang kurang peka kepada had atau kemampuan
pemandu serta kemampuan kenderaan yang dipandu,” kata Pengarah
Urusan PLUS, Noorizah Hj Abd Hamid.
Penceramah pada sesi pertama ini terdiri daripada agensi-agensi
kerajaan dan swasta iaitu JKJR, Institut Keselamatan Jalan Raya
Malaysia (MIROS), Puspakom dan PLUS.
PLUS akan turut mengadakan seminar keselamatan yang sama di
Wilayah Tengah dan Selatan secara berperingkat selepas ini.
|