|
Kuala
Lumpur, Khamis:- Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Ir Mohd Zin
Mohamed hari ini melancarkan Program ’Mentor-Mentee’ PLUS dalam
usaha untuk membangunkan lebih ramai kontraktor Kelas F/Gred G1
ke tahap yang lebih tinggi dalam sektor pembinaan negara.
Bercakap pada
majlis Rumah Terbuka dan perasmian logo baru PLUS Expressways di
Hotel Sheraton Subang hari ini, Dato’ Ir Mohd Zin Mohamed
berkata , ”Menerusi program Mentor-Mentee ini,
kontraktor-kontraktor Bumiputera Kelas F/Gred G1 yang berdaftar
dengan PLUS Expressways akan dapat menceburi industri pembinaan
bersama-sama dengan kontraktor utama. Dengan ini, kontraktor
Bumiputera Kelas F/Gred G1 akan dapat menimba ilmu dan
pengalaman dalam bidang teknikal dan pengurusan projek dan
secara tidak langsung, meningkatkan kualiti kerja dan
memantapkan kebolehan mereka untuk mengharungi era globalisasi
kini.”
Langkah PLUS
Expresssways memperkenalkan Program Mentor-Mentee ini adalah
sejajar dengan dasar komprehensif Kerajaan bagi memastikan
kontraktor aktif mendapat kerja di bawah pelaksanaan projek mega
Rancangan Malaysia Ke-Sembilan (RMK-9) dan dijangka dapat
meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam industri pembinaan yang
pada ketika ini pencapaiannya masih rendah.
Program
Mentor-Mentee PLUS ini menawarkan skop kerja seperti
penyelenggaraan rutin kerja-kerja awam, mekanikal dan elektrikal
serta kerja-kerja menaiktaraf dan pembaikan lebuh raya.
Menerusi
program ini, mentee atau kontraktor Bumiputera Kelas F/Gred G1
akan melaksanakan kerja-kerja sub-kontrak yang diberikan oleh
mentor atau kontraktor utama PLUS Expressways, manakala mentor
akan bertanggung jawab ke atas pencapaian mentee masing-masing
dengan memberi bimbingan sewajarnya.
Menurut
Pengerusi PLUS Expressways, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim,
”Program ini boleh dijadikan batu loncatan kepada kontraktor
Bumiputera Kelas F/Gred G1 untuk membangun dan seterusnya
mengembangkan perniagaan masing-masing. Langkah ini juga akan
membantu usaha Kerajaan untuk menaiktaraf kelas kelayakan
kontraktor Bumiputera Kelas F/Gred G1 agar lebih berdaya saing
dalam sektor pembinaan yang kini semakin sengit.”
|