PLUS EXPRESSWAYS BERHAD

UNTUK SIARAN SEGERA
2 Ogos 2008


PLUS ANJUR KEJOHANAN GO-KART UNTUK MEDIA

Subang Jaya, Sabtu :- Sebanyak 24 pasukan media cetak dan elektronik bersaing untuk merebut hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM15,000 dalam Cabaran Go-Kart Media Formula PLUS di Litar Speedway PLUS hari ini.

Pada cabaran go-kart tersebut, juara membawa pulang piala berserta hadiah wang tunai RM5,000, diikuti naib juara, RM4,000 dan tempat ketiga RM3,000. Manakala tempat keempat pula membawa pulang RM2,000 dan tempat kelima RM1,000. Kejohanan ini turut menawarkan hadiah-hadiah lain termasuk pasukan media terbaik, pakaian terbaik, penyokong terbaik, pendaftaran terawal dan lain-lain. Setiap pasukan diwakili oleh empat pelumba yang terdiri daripada kakitangan pihak media.

Kejohanan yang diadakan bersempena dengan sambutan Karnival Merdeka Sukan Bermotor di litar ini bertujuan untuk memberi peluang kepada kakitangan media mencuba sukan bermotor yang semakin popular ini. Kejohanan ini juga merupakan salah satu daripada langkah PLUS untuk mengucapkan terima kasih atas sokongan media terhadap perkhidmatan lebuh raya PLUS serta merapatkan lagi hubungan kerja di antara syarikat ini dengan pihak media.

Acara pelepasan pelumba pusingan akhir telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan PLUS Expressways Berhad, Noorizah Hj Abd Hamid.

Menurut Noorizah, “Sukan go-kart sepatutnya tidak dilabelkan sebagai satu sukan yang mahal atau elit. Litar Speedway PLUS memberi peluang kepada orang ramai mencuba sukan go-kart dengan harga yang lebih murah dan berpatutan selain mengasah bakat masing-masing sebagai pelumba go-kart di dalam persekitaran yang lebih terkawal, selamat dan menyeronokkan.”

Ini merupakan edisi ketiga kejohanan tersebut dianjurkan oleh PLUS sejak tahun 2006. Di antara pasukan media yang mengambil bahagian dalam kejohanan tahun ini adalah Star Publications, TV3, KLFM, Airtime Management & Programming (AMP), RTM, Utusan Malaysia, Media Prima, Harian Metro, Sinar Harian, The Malay Mail, Kosmo, Hypertune Magazine, 8TV, New Straits Times, NTV7 dan National Press Club.