|
Ipoh,
Khamis :- ”Kebanyakan kemalangan di lebuh raya yang
melibatkan kenderaan berat mungkin boleh dielakkan sekiranya
pemandu menghormati kemampuan diri serta kemampuan kenderaan
yang mereka pandu,” kata Pengurus Besar Komunikasi Korporat PLUS
Expressways Berhad (PLUS), Khalilah Dato Mohd Talha ketika
merasmikan Seminar Keselamatan ’Respect Your Limits’ di Hotel
Syuen, Ipoh hari ini.
”Pemandu sering memandang remeh tentang keupayaan diri mereka
sendiri dengan terus memandu walaupun mereka berasa letih dan
mengantuk hingga sukar untuk memberi perhatian kepada pemanduan
masing-masing. Akhirnya, mereka terbabit di dalam kemalangan
yang menyebabkan ramai penumpang atau pengguna lain turut
menjadi mangsa,” kata Khalilah.
Menyedari perlunya mendidik pemandu dan pemilik kenderaan berat
tentang kepentingan memahami had laju, had diri dan had
kemampuan yang dipandu, PLUS dengan kerjasama Jabatan
Keselamatan Jalan Raya (JKJR) mengadakan beberapa siri Seminar
Keselamatan ’Respect Your Limits’ di beberapa lokasi di
Semenanjung Malaysia sepanjang tahun ini.
Menurut Khalilah, ”Sebanyak 1,134 buah kenderaan berat terbabit
di dalam kemalangan di Lebuhraya PLUS tahun lalu berbanding
1,123 tahun sebelumnya. Walaupun jumlah tersebut jauh lebuh
rendah berbanding kemalangan di laluan-laluan biasa, PLUS
berpendapat jumlah tersebut boleh dikurangkan lagi menerusi
kempen-kempen kesedaran seumpama ini.”
Seminar kali pertama dan kedua telah berlangsung dengan jayanya
di Alor Star dan Seberang Jaya, pada 28 Januari dan 18 Mac lalu.
Seminar ketiga yang diadakan di Ipoh hari ini dihadiri oleh
seramai 150 orang pemandu-pemandu, pihak pengurusan dan pemilik
syarikat bas dan lori di sekitar Ipoh.
Seminar setengah hari ini turut disertai oleh
penceramah-penceramah dari PLUS, JKJR, Institut Keselamatan
Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Puspakom. Ia memberi pendedahan
kepada peserta tentang tip-tip pemanduan selamat di jalan raya
selain membincangkan isu-isu keselamatan membabitkan
kenderaan-kenderaan berat.
”Seminar yang seterusnya akan diadakan di Selangor, Wilayah
Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor secara
berperingkat selepas ini,” kata Khalilah.
-Tamat-= |