PLUS EXPRESSWAYS BERHAD

UNTUK SIARAN SEGERA
6 Februari 2008

PLUS BERSEDIA HADAPI MUSIM PERAYAAN TAHUN BARU CINA 

 

Kuala Lumpur, Rabu:- PLUS Expressways Berhad (Operator Lebuhraya Utara-Selatan, ELITE dan Linkedua) bersedia untuk menghadapi pertambahan trafik di lebuh raya menjelang cuti perayaan Tahun Baru Cina yang akan datang. Bagi menghadapi pertambahan trafik di lebuh raya, pelbagai langkah telah dan akan diambil bagi memastikan perjalanan trafik adalah lancar untuk kemudahan orang ramai.

“PLUS Expressways proaktif dan komited dalam membantu pelanggan lebuh raya agar perjalanan mereka lebih selamat, selesa and efektif, terutama pada waktu puncak,” kata Pengarah Urusan PLUS Expressways Berhad (PLUS), Noorizah Hj Abd Hamid dalam satu sidang media berhubung persiapan PLUS menghadapi musim cuti perayaan Tahun Baru Cina yang akan datang.

“PLUS Expressways juga komited untuk memberi nilai tambah kepada pelanggan lebuh raya dan memastikan perjalanan di lebuh raya selamat dan efisien,” tambah beliau.

Pertambahan Kakitangan
Menurut Noorizah, jumlah kakitangan PLUS di sepanjang lebuh raya juga ditambah sebanyak 60 peratus ketika musim perayaan ini. Di plaza-plaza tol, kesemua lorong sedia ada, termasuk 33 peratus lorong tambahan akan dibuka. Manakala, seramai 349 kakitangan akan dikerahkan untuk membantu pengurusan trafik di kawasan-kawasan rehat dan rawat dan plaza-plaza tol.

PLUS juga akan meletakkan lebih ramai kakitangan dan mengambil langkah tambahan untuk menghadapi pertambahan trafik termasuk:-
• Pengawasan trafik dari udara.
• Pasukan-pasukan bantuan kecemasan di lokasi strategik sepanjang lebuh raya.
• Lebih banyak pasukan PLUSRonda.
• Menempatkan Pasukan Bantuan Ibu Pejabat dan menambah bilangan lorong di plaza-plaza tol.
• Melanjutkan tempoh operasi di Pusat Khidmat Pelanggan dan Lorong Tambah Nilai Touch ‘n Go.

Lorong Ketiga Tambahan

Bagi perjalanan ke Selatan, kesemua laluan tiga lorong (kedua-dua arah) di antara Seremban dan Ayer Keroh telah dibuka kepada orang ramai. Di Utara, laluan tiga lorong dari Slim River ke Rawang (kedua-dua arah) juga akan dibuka kepada lalu lintas menjelang sambutan musim perayaan ini.

Laluan Kontra

Dalam pada itu, bagi melancarkan perjalanan trafik ke arah utara di antara Tanjung Malim dan Slim River, laluan tambahan satu lorong akan disediakan menerusi laluan kontra yang dibuka di antara KM392.8 hingga KM378.5 di Lebuhraya Utara-Selatan bermula 10:00 pagi, 5 Februari ini (tertakluk kepada keadaan trafik). Laluan Kontra ini akan ditutup pada jam 11:59 malam pada 7 Februari untuk membolehkan laluan tiga lorong yang sedia ada digunakan untuk perjalanan ke selatan ketika orang ramai pulang semula ke Lembah Klang.

(Sila rujuk jadual Laluan Kontra yang dilampirkan).

Cadangan Waktu Perjalanan (Travel Time Advisory)

PLUS dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), AMP Radio Networks dan Radio 24 turut memperkenalkan cadangan waktu-waktu perjalanan sebagai salah satu langkah bagi memastikan perjalanan yang selamat dan selesa di Lebuhraya Utara-Selatan pada musim cuti yang akan datang.

“Saranan waktu-waktu perjalanan di lebuh raya yang diperkenalkan ini adalah bagi menghadapi peningkatan jumlah trafik sempena cuti sambutan musim perayaan akan datang. Cadangan waktu perjalanan ini bertujuan untuk menasihati pengguna lebuh raya dari Lembah Klang agar balik ke kampung dan pulang kembali mengikut waktu-waktu yang disarankan bagi memastikan perjalanan yang lebih selamat dan efisien untuk mengurangkan kesesakan di waktu puncak,” menurut Noorizah.

Berdasarkan kajian yang dijalankan pada cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri yang lalu, PLUS mendapati Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang dikeluarkan mendapat respons yang positif dan menggalakkan daripada orang ramai.

Lebih kurang 60% pengguna lebuh raya telah mengikuti waktu-waktu yang disarankan pada cuti Hari Raya Aidilfitri yang lalu, dan perjalanan trafik didapati lancar tanpa kesesakan yang ketara.

“Ini membuktikan Cadangan Waktu Perjalanan yang dikeluarkan berjaya mencapai matlamatnya dengan usahasama orang ramai serta pihak Polis DiRaja Malaysia, Lembaga Lebuhraya Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta jabatan-jabatan lain yang terlibat. Oleh itu, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dan menasihatkan orang ramai supaya terus memberikan kerjasama dengan mengikuti jadual cadangan waktu perjalanan yang dikeluarkan untuk cuti Tahun Baru Cina minggu ini ,” tambah Noorizah lagi.

(Sila rujuk jadual Cadangan Waktu Perjalanan yang dilampirkan)

Kemudahan dan Keselesaan Pengguna
Kesemua kemudahan di kawasan-kawasan rehat dan hentian-hentian sebelah dibuka sepenuhnya dan beroperasi 24-jam sehari.
Bagi meningkatkan kemudahan dan keselesaan pengguna lebuh raya, kawasan meletak kenderaan tambahan juga disediakan di 12 buah kawasan rehat dan rawat serta hentian sebelah.

Pengurusan Kemalangan/Kerosakan

Peralatan tambahan seperti kren dan trak tunda juga disediakan di beberapa lokasi untuk membolehkan kenderaan yang terbabit di dalam kemalangan atau kerosakan dapat dialihkan secepat mungkin. Ini disokong oleh kerjasama dengan PDRM, Bomba, JPA3, Persatuan Bulan Sabit Merah dan St Johns Ambulans.

Info Trafik PLUS

1) PLUSLine – Talian Bantuan 24-jam
Orang ramai disaran supaya menghubungi talian bebas tol PLUSLine di 1800 88 0000 untuk mendapatkan maklumat berhubung Cadangan Waktu Perjalanan, Laluan Kontra di antara Tanjung Malim dan Slim River, maklumat trafik terkini dan bantuan-bantuan lain.


2) Maklumat Trafik Menerusi Radio
PLUS juga bekerjasama dengan AMP Radio Networks untuk menyalurkan maklumat trafik terkini secara efisien kepada orang ramai. Laporan-laporan trafik terkini akan disiarkan menerusi ERA, MY FM, hitz.fm, MIX fm, LiteFM, SINAR, Xfresh, THR Raaga, THR Gegar dan Radio 24.

3) PLUS Mobile Alert (PlusMA)
Selain itu, PLUS juga memperkenalkan perkhidmatan SMS PLUS Mobile Alert. Menerusi perkhidmatan ini, pengguna lebuh raya boleh mendapatkan laporan keadaan trafik terkini di Lebuhraya Utara-Selatan yang akan disediakan pada 6, 7, 9, 10 dan 11 Februari ini mengikut kod perjalanan yang dipilih.

Untuk melanggan perkhidmatan SMS berkenaan, orang ramai boleh:-

Taip ON<jarak><kod perjalanan> dan hantar ke 33626.