Media Release - My

RIBUT KENCANG: SILING PADA BUMBUNG PLAZA TOL RAWANG SELATAN JATUH

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) ingin memaklumkan bahawa siling pada bumbung satu lorong keluar di Plaza Tol Rawang Selatan di Lebuhraya Utara-Selatan telah jatuh ekoran kejadian ribut kencang dan hujan lebat sebentar tadi.

Pada kejadian yang berlaku pada kira-kira jam 4:57 petang itu, lorong terbabit telah ditutup sementara kepada lalu lintas bagi memudahkan pihak PLUS menjalankan kerja-kerja pembersihan dan pemeriksaan di plaza tol tersebut.

PLUS mengesahkan bahawa tiada kecederaan dilaporkan sama ada melibatkan kakitangan atau pengguna lebuh raya di plaza tol terbabit.

Pihak PLUS juga ingin memaklumkan bahawa pemeriksaan terakhir pada semua bangunan di plaza tol tersebut telah dilaksanakan pada 18 November 2018 yang lalu.

Selepas kerja-kerja pembersihan dan pemeriksaan keselamatan dijalankan, pihak PLUS telah membuka kesemua lorong di plaza tol terbabit kepada orang ramai mulai jam 7:45 malam tadi.

PLUS mengucapkan terima kasih atas kerjasama dan perhatian semua pengguna lebuh raya.