Media Release

PEMANSUHAN KUTIPAN TOL BAGI MOTOSIKAL DI JAMBATAN PULAU PINANG (JPP) DAN JAMBATAN SULTAN ABDUL HALIM MUADZAM SHAH (JSAHMS) DI PULAU PINANG SERTA DI PLAZA TOL TANJUNG KUPANG, LEBUHRAYA LALUAN KEDUA MALAYSIA – SINGAPURA (LINKEDUA) DI JOHOR

KUALA LUMPUR, 31 Disember 2018 - Kementerian Kerja Raya (KKR) ingin mengumumkan Pemansuhan Kutipan Tol bagi motosikal di Jambatan Pulau Pinang (JPP) dan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (JSAHMS) di Pulau Pinang serta Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia – Singapura (LINKEDUA) di Johor mulai 12.01 pagi pada 1 Januari 2019.

Pemansuhan kutipan tol bagi motosikal ini adalah selaras dengan pengumuman YB Menteri Kewangan semasa pembentangan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat pada 2 November 2018 sebagai bukti keprihatinan Kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan kualiti kehidupan rakyat khususnya di Negeri Pulau Pinang dan Johor.

Dengan pemansuhan kutipan tol bagi motosikal di Jambatan Pulau Pinang (JPP) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya LINKEDUA, Johor di bawah kendalian Syarikat Konsesi PLUS Malaysia Berhad, pengguna akan menikmati laluan motosikal tanpa tol 19 tahun lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan dalam Perjanjian Konsesi Lebuhraya. Manakala pemansuhan kutipan tol bagi motosikal di Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (JSAHM) yang di bawah kendalian Syarikat Konsesi Jambatan Kedua Sdn. Bhd, pengguna akan menikmati bayaran motosikal tanpa tol 34 tahun lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan dalam Perjanjian Konsesi Lebuhraya.

Pemansuhan bayaran tol bagi motosikal ini sekaligus akan memberi manfaat kepada hampir 20 ribu pengguna lebuh raya yang menggunakan motosikal di Jambatan Pulau Pinang (JPP) dan 2 ribu di Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (JSAHM) serta 50 ribu pengguna motosikal di Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya LINKEDUA yang menggunakan laluan tol berkenaan setiap hari.

Demi keselamatan dan keselesaan pengguna adalah dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi setiap peraturan dan papan tanda yang disediakan sepanjang laluan motosikal tersebut.

Kementerian Kerja Raya ingin mengucapkan terima kasih atas keprihatinan dan kerjasama pengguna lebuh raya.

KEMENTERIAN KERJA RAYA
31 DISEMBER 2018