Media Release

PLUS PERJELAS ISU VIDEO TULAR PELANGGAN DIKENAKAN CAJ BERLEBIHAN DI PLAZA

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) merujuk kepada rakaman video tentang seorang pelanggan lebuhraya yang tidak berpuashati apabila dikenakan caj berlebihan apabila membayar tol di Plaza Tol UPM hari ini.

PLUS memandang serius rungutan pengguna terbabit dan telah mengadakan siasatan serta-merta berhubung kejadian tersebut.

Siasatan PLUS mendapati pengadu telah menggunakan kad yang berlainan ketika masuk dan keluar dari lebuhraya dan menyebabkan berlakunya sedikit kekeliruan di plaza tol berkenaan.

Berdasarkan siasatan dengan menggunakan rakaman CCTV serta data transaksi tol kami, terdapat kekeliruan ketika kejadian itu apabila pengadu tersebut menggunakan kad bernombor siri 32466xxxxx (tiada baki) ketika memasuki lebuhraya menerusi Plaza Tol Southville City kira-kira jam 8:28 pagi.

Namun begitu, pengadu telah menggunakan kad yang berlainan (nombor siri 41166xxxxx) apabila cuba membayar tol di Plaza Tol UPM pada jam 8:39 pagi dan menyebabkan kad yang digunakan untuk membayar tol tersebut tidak mempunyai data masuk dan sistem palang tol automatik tidak dapat dinaikkan.

Pengadu kemudian telah cuba untuk menggunakan lorong lain dengan menggunakan kad asal (32466xxxxx) untuk keluar pada jam 8:44 pagi dan memandangkan ia tidak mempunyai baki, palang juga tidak dinaikkan.

PLUS juga ingin memaklumkan bahawa pengadu juga telah diberi penerangan tentang masalah terbabit oleh Penyelia plaza yang bertugas.

Justeru, PLUS mengambil peluang ini agar pelanggan lebuhraya yang mempunyai lebih daripada 1 kad Touch 'n Go/PLUSMiles di dalam kenderaan masing-masing supaya sentiasa memastikan mereka menggunakan kad yang sama untuk masuk dan keluar dari lebuhraya bagi mengelakkan kesulitan dan caj penalti. Pelanggan juga dinasihatkan supaya memastikan kad mereka sentiasa mempunyai baki yang mencukupi sebelum memasuki lebuhraya bagi mengelakkan kesulitan.