Media Release

PLUS SANGKAL DAKWAAN R&R TAPAH LOKASI WABAK CHIKUGUNYA

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) merujuk kepada mesej whatsapp yang sedang tular  yang mendakwa Kawasan R&R Tapah berisiko wabak Chikugunya.
Pihak PLUS ingin menjelaskan bahawa R&R Tapah di kedua-dua arah adalah selamat untuk dikunjungi dan adalah bebas dari wabak Chikugunya.
PLUS sentiasa memberi keutamaan terhadap aspek kesihatan dan keselamatan pengguna lebuhraya, selaras dengan matlamat utama kami iaitu “menjaga pelanggan kami sepanjang perjalanan."
 
Oleh itu, PLUS sentiasa berusaha memastikan persekitaran di lebuh raya dan kemudahan yang disediakan adalah selamat.
Untuk makluman, kerja-kerja penyelengaraan dan pembersihan menyeluruh secara berjadual sentiasa dilaksanakan untuk memastikan R&R sentiasa berada pada tahap yang terbaik untuk semua pelanggan lebuhraya.
 
Berdasarkan rekod, kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan menyeluruh berjadual yang terkini bagi R&R Tapah (Arah Utara & Selatan) telah dilaksanakan pada 12 dan 13 November lalu.
 
Kerja-kerja penyelengaraan dan pembersihan menyeluruh berjadual ini dilaksanakan setiap bulan dan turut merangkumi kawalan serangga perosak, kerja-kerja pengasapan dan juga pembersihan bersepadu bersama para pengusaha dan pengendali gerai kawasan gerai makanan dan minuman.
 
Orang ramai yang mengunjungi kawasan berhampiran dinasihatkan untuk berhubung dengan Pejabat Kesihatan Daerah Batang Padang untuk mendapat maklumat rasmi mengenai pengisytiharan lokasi kes wabak Chikugunya yang terkini.
 
Pihak PLUS sentiasa berhubung dan memberi kerjasama rapat dengan Pejabat Kesihatan Daerah terbabit dalam memastikan kemudahan R&R Tapah adalah bebas dan selamat dari wabak penyakit yang berbahaya.