Media Release

PLUS SALUR RM1 JUTA UNTUK IBADAH KORBAN KOMUNITI B40 SEPANJANG JAJARAN LEBUHRAYA SEJAK SEDEKAD LALU

 Kira-kira RM1 juta telah disalurkan oleh PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bagi membantu menjayakan program-program ibadah korban anjuran komuniti-komuniti sepanjang jajaran Lebuhraya Utara-Selatan setiap tahun sejak 10 tahun yang lalu. Ia merupakan pendekatan syarikat ini untuk terus aktif menyokong dan menyertai program anjuran masyarakat setempat terutamanya dari kumpulan B40 dari masa ke masa.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, “Pada sambutan Aidiladha tahun ini sahaja, PLUS menyumbang sebanyak 21 ekor lembu bernilai RM168,000 untuk diagihkan kepada masjid serta surau di komuniti yang terletak berhampiran jajaran lebuhraya kami termasuk di LPT2.”

PLUS secara berterusan mengambil bahagian di dalam program-program yang melibatkan masyarakat setempat terutamanya golongan B40 dalam usaha membantu meningkatkan kualiti hidup mereka. 

“Program-program ini bukan sahaja berbentuk sumbangan atau suntikan dana. Tetapi ia juga menyeluruh serta meliputi program-program pendidikan keselamatan, membaiki jalan-jalan serta infrastruktur kampung yang rosak dan lain-lain lagi,” tambah Datuk Azman.

Menurut beliau, penglibatan di dalam program-program komuniti ini adalah selari dengan nilai korporat PLUS yang memberi penekanan terhadap aspek keprihatinan terhadap masyarakat sekeliling.